POLIS sedang meneliti kes di mana seorang murid berusia 11 tahun didakwa dirotan sehingga berbirat oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat oleh bapa mangsa pada malam Selasa (29 Mac) lalu.
“Siasatan awal mendapati, guru terbabit telah merotan pelajar berusia 11 tahun tersebut sebanyak lima kali hingga mengakibatkan badannya mengalami kesan calar dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Guru tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas supaya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.
“Pegawai penyiasat kes telah hadir ke sekolah berkenaan namun dimaklumkan oleh pihak sekolah bahwa guru terbabit sedang bercuti dan kini berada di luar kawasan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan dengan senjata atau cara berbahaya.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

