Kemelut Sapura: Najib besar-besarkan cerita – Rafizi

0
3

KEMELUT aliran tunai yang dialami Sapura Energy Berhad boleh diselesaikan golongan profesional dalam syarikat itu tanpa perlu campur tangan kerajaan.

Perkara itu dijelaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata Datuk Seri Najib Razak hanya membesar-besarkan cerita kononnya syarikat itu hanya boleh diselamatkan dengan suntikan dana kerajaan.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, kepimpinan baharu Sapura telah melakukan tindakan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi kemelut tersebut.

“Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha yang terbaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib.

“Pengerusi Lembaga Pengarah Sapura yang baru adalah Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azhar Abbas,merupakan bekas Presiden/CEO PETRONAS yang telah mengemudi industri minyak dan gas negara sejak tahun 1980an.

“Ketua Pegawai Eksekutif Sapura yang baru adalah Datuk Mohd Anuar Taib. Sebelum Sapura, beliau adalah Pengerusi Shell Malaysia sebelum memimpin perniagaan huluan minyak dan gas PETRONAS sebagai Naib Presiden Eksekutif.

“Ahli Lembaga Pengarah Kanan Sapura yang baru adalah Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. Beliau adalah bekas CEO Shell bagi rantau ini sebelum menjadi Pengerusi Maybank dan Pengerusi Felda,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, pengalaman ketiga-tiga tokoh industri minyak dan gas negara ini melebihi 100 tahun.

“Mereka lebih cerdik dan mempunyai kepakaran dalam bidang mereka berbanding Najib. Mereka tidak pernah mendakwa mereka bodoh sehingga boleh ditipu berbilion ringgit oleh seorang budak bernama Jho Low.

“Lebih penting, mereka terkenal sebagai tokoh-tokoh yang profesional dan jujur. Mereka menerima permintaan PNB untuk memulihkan Sapura kerana mereka adalah patriot sedangkan mereka boleh bersara sahaja,” katanya.

Rafizi turut menyenaraikan langkah-langkah sepatutnya yang telah dilakukan oleh pengurusan baharu Sapura untuk mengatasi kemelut itu.

Katanya, hampir semua daripada langkah-langkah ini telah pun dilaksanakan oleh pengurusan baru Sapura.

“10 Mac 2022 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi pelepasan kepada Kumpulan Sapura di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat yang membolehkan Sapura merundingkan menstrukturkan kembali pembayaran hutangnya kepada pemiutang dan vendor.

“4 Februari 2022 – Sapura mengumumkan ia akan menarik diri dari projek Yunneng Wind Power di Taiwan yang bermasalah dan ada kesan kepada prestasi kewangannya.

“8 Disember 2021 – Sapura mengumumkan operasi minyak dan gasnya masih kekal dengan pengeluaran harian 34,000 tong minyak. Ia juga memberi fokus kepada 59 projeknya di seluruh dunia mengikut pelan rasionalisasi operasi yang diberi nama ‘Pelan Reset’.

“8 Disember 2021 – Sapura mengumumkan satu pasukan khasdiketuai CEO dan 5 ahli Lembaga Pengarah dengan dibantu penasihat kewangan dari PriceWaterhouseCoopers (PwC) dan Rothschild & Co untuk menggubal pelan pemulihan,” katanya.

Rafizi juga membidas Najib kerana berusaha menjadikan kemelut ini sebagai isu nasional dengan cuba mendesak Kerajaan Persekutuan (melalui institusi rakyat seperti Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS dan Permodalan Nasional Berhad) menyelamatkan syarikat itu (sama ada dengan menyuntik dana rakyat atau mengambil alih syarikat tersebut menggunakan dana rakyat).

“Alasan yang diberikan ialah kehilangan kerja sehingga 10,000 orang dan kerugian yang bakal ditanggung PNB.

“Saya akan membuktikan perkara ini dibesar-besarkan demi permainan Najib dalam ulasan-ulasan yang seterusnya. Saya juga akan menunjukkan bagaimana jawapan Najib bahawa dia tidak ada tanggungjawab mengenai bayaran kepada pengarah eksekutif Sapura (semasa dia menjadi Menteri Kewangan) kerana itu urusan syarikat swasta, adalah alasan semata-mata.

“Hari ini, saya akan menjawab keangkuhan Najib kononnya dia sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan rakyat hilang pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here