TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan kewangan bagi membantu kanak-kanak Sindrom Down, Koh Jia Wei, yang berusia setahun dan mengalami sakit jantung berlubang.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Tunku Ismail, berkata beliau menerima laporan berhubung keadaan kanak-kanak itu menerusi pegawainya.
“Saya telah menerima laporan daripada pegawai saya berkenan adik Koh Jia Wei dan saya akan hulurkan bantuan untuk kos perubatan.
“Saya berharap dan berdoa agar pembedahan ini dapat membantu beliau meneruskan hidup dengan lebih sempurna,” katanya.
Sementara itu, Tunku Ismai berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada ibu kanak-kanak tersebut.

“Doktor telah mengesahkan bahawa anak kecil ini memerlukan pembedahan segera untuk pembetulan jantung kerana berisiko mengalami kegagalan jantung dan memerlukan sokongan oksigen sepanjang hayatnya.
“Cek tersebut akan disampaikan sendiri oleh pegawai Tunku Mahkota Johor kepada ibunya, Koh Bee Bee bagi menampung kos pembedahan segera dan rawatan agar anak kecil ini dapat kembali sihat. Allah Peliharakan Sultan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini media melaporkan, Jia Wei memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk menjalani pembedahan jantung bagi menyelamatkan nyawanya.
Ibu kanak-kanak tersebut memberitahu, keadaan jantung anaknya itu dikesan ketika dia membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan suntikan sewaktu berusia lapan bulan di sebuah klinik berhampiran rumahnya di Masai, Johor. – Malaysiapost

