USAHA Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melaksanakan pembaharuan dalam industri bola sepak tanah air khususnya berkaitan agama dilihat sebagai satu usaha yang baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pada 2 Mac lalu, beliau menerima kunjungan hormat Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam
Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkata dalam pertemuan itu pihak MFL memohon pandangannya bagi beberapa usaha pembaharuan industri bola sepak negara khususnya berkaitan agama.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan idea dan saranan saya telah pun mula dilaksanakan dalam perlawanan-perlawanan yang dijalankan.
“Antaranya, saya menekankan syiar azan wajar dikumandangkan setiap kali perlawanan bola sepak yang melewati waktu solat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, para pemain akan berhenti seketika dengan durasi kurang satu minit bagi menghormati azan yang dialunkan oleh Ustaz Muhammad Fitri Abdul Razak, Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam USIM.
“Saya juga telah mengarahkan pihak USIM melalui Pusat Sukan USIM untuk menyediakan khidmat imam-imam di beberapa ruang solat dalam stadium bagi perlawanan yang berskala besar.
“Ini selari dengan pandangan Imam al-Ramli daripada mazhab Syafie berkenaan hukum yang tidak memakruhkan untuk mempunyai beberapa imam yang memimpin solat berjemaah dalam satu-satu tempat,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan mungkin dilihat kecil namun ia adalah asas yang baik bagi memaknakan konsep Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.
“Syiar Islam perlu terus subur di bumi tercinta ini. Tahniah MFL! Moga ada barakah di sebalik usaha pembaharuan ini,” katanya. – Malaysiapost

