Masjid Baiturrahman Alam Sari perlukan RM10 juta

0
1

MASJID Baiturrahman Alam Sari, Kajang masih memerlukan peruntukan sebanyak RM10 juta lagi bagi kos pembinaan yang kini sedang dibangunkan.

Pengerusi masjid, Datuk Sayed Jaafar Sayed Ibrahim menyeru orang ramai agar membantu menghulurkan sumbangan khususnya sempena bulan Ramadan ini.

Menurutnya, pembinaan masjid berkenaan keseluruhannya memerlukan dana sebanyak RM25 juta dan kini sedang rancak dibangunkan serta dijangka siap pada 2024.

“Pihak kami sudah mendapat dana terkumpul hampir mencecah RM15 juta. Kita masih memerlukan dana dalam RM10 juta untuk melengkapkan proses pembinaan.

“Kita sentiasa mengemaskini jumlah kutipan dana di laman www.baiturrahman.my. Malah kalau ada yang bermurah hati mahu menderma atau menginfak boleh layari pautan sama.

“Jika dana atau peruntukan sudah mencukupi, kita akan isytiharkan. Kita tidak terima dan ambil lebih daripada peruntukan kos diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sayed Jaafar berkata, masjid yang mendapat kelulusan pembinaan daripada Jabatan Agama Islam Selangor pada 3 Januari lalu, dapat menampung sebanyak 4,000 jemaah dalam satu masa.

“Memandangkan penduduk Alam Sari sendiri dan kawasan sekitar boleh mencecah sebanyak 20,000 orang maka pembinaan siap sepenuhnya, jadi masjid ini diharap dapat dimanfaat dan diimarahkan dengan baik.

“Sesuai dengan penduduk yang hampir 100 peratus beragama Islam, masjid ini akan menjadi tumpuan penduduk sekitar dan luar dalam melaksanakan pelbagai ibadah dan aktiviti bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata, masjid ini dibina di tapak seluas 3.51 ekar menggunakan khidmat pemaju I&P Sdn Bhd iaitu anak syarikat SP Setia Sdn Bhd bernaung di bawah Permodalan Nasional Berhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here