Gunakan pengeluaran khas KWSP untuk manfaat yang terbaik – Ahmad Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

RAKYAT Malaysia perlu membuktikan sebagai masyarakat yang bijak dan berhemah menggunakan wang, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pengeluaran khas maksimum RM10,000 wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya terutama sekali dalam memulihkan kembali kehidupan yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

“Ayuh rakyat Malaysia kita buktikan bahawa kita adalah masyarakat yang bijak dan berhemah dalam menggunakan wang tersebut.

“Pengeluaran khas maksimum RM10,000 itu bukan sahaja akan dapat membantu rakyat pada waktu-waktu sukar ketika ini.

“Jumlah dibenarkan “one-off” sehingga RM10,000, maka gunakanlah ia untuk manfaat yang terbaik apabila diterima kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan adalah tidak benar pemimpin Umno menghasut rakyat berkaitan pengeluaran wang KWSP selama ini kerana pengeluaran khas itu tidak akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP.

“Ternyata pengeluaran khas itu tidak akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP bagi 2022 seperti didakwa.

“Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sehari sebelum permohonan dibuka. Berbeza berbanding dakwaan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat iaitu aktiviti pelaburan dalam negara bakal terjejas.

“Malah membantu merancakkan aliran tunai dalam pasaran sekaligus mengoptimumkan pergerakan ekonomi dalam negara,” katanya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana perjuangan Umno terhadap tuntutan rakyat itu akhirnya dapat memberi kelegaan kepada rakyat yang terjejas.

“Syukur Alhamdulillah permohonan untuk pencarum mengeluarkan wang KWSP telah pun dibuka.

“Gunakan dengan berhemah dan bijaksana dalam merancang perbelanjaan saudara saudari sekalian,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here