AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meminta rakyat tidak membiarkan negara kembali kepada pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi BN berkata demikian susulan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan menawarkan kerjasama dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Lenggong itu, berkata sekiranya situasi itu berlaku bermakna PAS akan menjadi parti yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan.
“Mahukah Malaysia dan kita kembali ke zaman 22 bulan PH memerintah? Cukuplah.
“Apakah kita lupa apa yang PAS kata pada PH dibawah pimpinan Tun M?Persoalan lain siapa yang akan menjadi PM ke 10 ? Tun M atau Muhyiddin?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa selain kedua-dua parti berkenaan, rundingan juga dilakukan dengan PKR.
Katanya, situasi itu sekali gus bakal menimbulkan polemik politik yang sama apabila Malaysia akan kembali ke era 22 bulan PH memerintah.
“Dan dikhabarkan PKR juga sedang dirunding. Apakah Anwar akan terus menjadi ‘PM menunggu’? “
“Apakah PN, Pejuang atau parti dalam PH akan kembali bergabung? Kiranya ini berlaku Malaysia akan kembali ke era 22 bulan PH memerintah.
“Maka kembali malaplah Malaysia. Situasi ini jelas merugikan negara dan rakyat,” katanya.
Justeru, beliau menasihati rakyat supaya bertindak bijak memilih parti yang mempunyai keupayaan membina dan membangunkan semua Malaysia.
“Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi. Kita mahu kestabilan. Cukuplah berpuluh tahun Malaysia dipenuhi cerita dan berita mengenai Tun M, Muhyiddin. Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Lim Guan Eng.
“Kita mesti bergerak kehadapan. Kita tinggalkan mereka. Kita mahu kestabilan masa depan negara agar Malaysia kembali kehadapan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir, dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa pertemuan Muhyiddin dengan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang, berlangsung kira-kira dua minggu lalu. – Malaysiapost

