Akta 342 masih berkuatkuasa sehingga 30 Jun ini – Dr Noor Hisham

0
2

BERMULA hari ini, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peralihan ke endemik dapat dicapai susulan kejayaan program vaksinasi Covid-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap yang terkawal.

Menurutnya, istilah endemik, epidemik, dan pandemik adalah antara istilah dalam bidang kesihatan awam bagi menggambarkan keseriusan kadar penyebaran sesuatu penyakit, terutamanya penyakit berjangkit.

Beliau berkata, pandemik adalah kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di seluruh dunia dan melibatkan populasi yang besar, kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan penyakit baharu (novel).

“Contohnya, Pandemik Covid-19, Pandemik Plague (kurun ke-14), Pandemik Influenza-Spanish Flu (1918-1919), dan Influenza H1N1 (2009).

“Istilah endemik pula merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat tetapi pada kadar yang stabil; contohnya Demam Denggi di lebih 100 negara termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun memasuki fasa peralihan ke endemik, Pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan masih lagi dikuatkuasakan di seluruh Malaysia di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] sehingga 30 Jun 2022.

Menurutnya, selain daripada penguatkuasaan Akta 342 semasa dalam tempoh fasa peralihan ke endemik ini, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 juga dilaksanakan.

“Ini di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang telah diwartakan pada 31 Mac 2022.

“Protokol dan arahan pencegahan dan kawalan tersebut diperincikan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan mulai 1 April 2022,” katanya.

Beliau berkata, walaupun liputan vaksinasi Covid-19 dalam kalangan individu dewasa di Malaysia telah mencapai lebih 90 peratus, program kawalan penyakit yang mantap melalui intervensi kesihatan awam masih perlu diteruskan.

Menurutnya, semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam.

“Pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keprihatinan Kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti.

Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik dan belum lagi memasuki fasa endemik.

“Oleh yang demikian, SOP yang ditetapkan semasa fasa peralihan ke endemik ini perlu diamalkan oleh setiap individu supaya dapat mencegah penularan jangkitan COVID-19 dan seterusnya beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here