AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi menggesa kerajaan agar membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Syed Saddiq, berkata beliau konsisten memperjuangkan perkara berkenaan sejak dilantik menjadi menteri pada 2018.
“Saya cuma nak ulang pendirian saya dalam isu penggunaan ganja/kanabis.
“Sejak menjadi menteri pada 2018-2020, saya konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).
“Malah, Kementerian Kesihatan di bawah bekas menteri, YB Dr Dzulkefly pun ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan MOH untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia,” katanya.
Menurutnya isu penanam hem dan kebenaran digunakan untuk perubatan juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekarang.
“Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains. Bukan buat sebab ‘trend’ atau cakap-cakap orang. Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit.
“Saya juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia.
“Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion,” katanya.
Terdahulu, bekas penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.
Yassin yang ditemui media di perkarangan mahkamah telah meminta wakil media menyampaikan salam beliau kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Sampaikan salam kepada YB Syed Saddiq, minta segerakan kelulusan…,” katanya ketika diiringi anggota polis sebaik tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. hari ini.
Bagaimanapun, Syed Saddiq dalam kenyataannya enggan mengulas kes berkaitan Yasin itu.
“Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.
“Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes,” katanya. – Malaysiapost

