Usul kecualikan Raja-Raja Melayu, YDP Negeri, pewaris daripada mengundi diluluskan

0
1

PINDAAN Perlembagaan bagi memasukkan peruntukan baharu Perkara 119A yang mengecualikan Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain Raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelulusan itu diperolehi melalui undi belah bahagi dengan mendapat sokongan majoriti dua per tiga Ahli Dewan Negara di mana seramai 50 daripada 58 ahli bersetuju terhadap pindaan tersebut.

Menurutnya, pembentangan hari ini merupakan susulan kepada sokongan yang telah diperoleh semasa sesi Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu yang mendapat sokongan majoriti dua per tiga ahli di mana seramai 178 dari 222 orang ahli Dewan Rakyat telah bersetuju terhadap pindaan tersebut.

“Pindaan ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik di mana setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas yang memenuhi syarat kelayakan adalah didaftarkan secara automatik tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, Perkara 119A ini telah dibawa bagi mengecualikan Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain Raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik supaya kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik (above politics).

“Bagaimanapun, pilihan sama ada untuk mengundi atau tidak, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat telah diadakan dengan wakil dari setiap negeri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka.

“Majlis Raja-Raja pada 9 Mac hingga 10 Mac 2022 telah mempertimbangkan dan memperkenankan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini.

“Yang Berhormat Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua Ahli Dewan Negara yang telah memberi sokongan kepada pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata, Rang Undang-undang ini seterusnya dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan dan diwartakan.

“Selanjutnya, senarai lengkap pengecualian setiap negeri akan dibawa melalui suatu perintah yang akan diwartakan kemudian selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here