Pelajar bermasalah dicadang duduk dalam penjara – Dr Akmal

0
2

MELAKA mencadangkan pelajar mempunyai masalah disiplin dan sosial yang kritikal untuk dibawa merasai sendiri pengalaman duduk di dalam penjara.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata cadangan itu antara usaha ‘reverse psychology’ bagi mengurangkan masalah sosial dalam kalangan pelajar yang semakin meningkat ketika ini.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kita melihat masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat. Jadi dengan membawa mereka rasai sendiri pengalaman berada dalam penjara di Muzium Penjara ini sedikit sebanyak dapat mengubah psikologi mereka.

“Ini supaya mereka tahu bila membuat salah mereka (pelajar) akan di hukum di penjara dan tiada lagi kebebasan diberikan.

“Kita bawa ke sini bukan setakat pelajar dapat belajar tapi boleh merasai sendiri duduk di dalam sel selama 20 minit,” katanya seperti dilapor Melaka Hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok di Muzium Penjara, Banda Hilir, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suasana penjara yang sempit serta gelap sudah tentu mengubah pemikiran pelajar untuk mencegah dari melakukan perkara yang tidak baik.

“Sebab dalam tu keadaan yang sempit dan gelap, usaha ini boleh mengubah pemikiran anak-anak ini sebab kalau kita guna kaedah merotan mereka ia kurang berkesan.

“Tapi kalau kita psiko dia sendiri, kita bawa dia sendiri rasa bagaimana kalau dia buat salah duduk dalam penjara dia lihat bagaimana org kena sebat… saya percaya ia dapat mengubah persepsi pelajar itu,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here