Mengenang legenda Arsenal yang berkelana ke Sabah

0
1

PADA tarikh ini 21 tahun lalu atau lebih tepat 31 Mac 2001, bekas pemain Arsenal, David Rocastle meninggal dunia pada usia 34 tahun akibat kanser.

Pemain dengan nama panggilan Rocky ini bukan asing bagi peminat bola sepak di Malaysia, kerana pernah beraksi bersama skuad Sabah pada 1998 dan 1999.

Dia membuat 228 penampilan bersama Arsenal dan membantu The Gunners meraih dua kejuaraan liga pada 1989 dan 1991, selain beraksi Leeds, Manchester City dan Chelsea di era Liga Perdana serta dipinjamkan ke Norwich dan Hull City sebelum berhijrah ke Sabah.

Pemain yang beraksi selaku perancang atau sayap ini membuat 14 penampilan bersama skuad utama England.

Rocky dibawa ke Sabah oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) ketika itu, Datuk Seri Anifah Aman dengan bantuan ketua jurulatih, mendiang Ken Shellito.

Memetik laporan Aljazeera pada tahun 2001, Anifah berkata, dia memang peminat Arsenal dan Rocky antara pemain diminatinya ketika melanjutkan pengajian di London pada sekitar 1980-an.

Menurut Anifah, sepanjang dua musim bersama Sabah, Rocky seorang yang merendah diri, berdedikasi dan sentiasa tiba awal di padang latihan walaupun berstatus bintang.

“Kami tak fikir mampu mendapatkannya, tetapi bagi David wang bukan isu. Dia mahu membantu dan beraksi bersama pemain muda, terima kasih kepadanya kerana ramai pemain muda ketika itu menjadi pemain yang baik,” kata Anifah.

Ketika bersama Sabah, antara yang paling tidak dilupakan adalah jaringan voli dilakukan dari jarak 50 meter ketika Sabah menewaskan Perak 4-1 di Stadium Likas.

Penolong pengurus pasukan Sabah, Anuar Ayub pula menceritakan, Rocky ketika mula tiba di Sabah tiada masalah menyesuaikan diri dengan makanan dan budaya tempatan, malah dia sangat menggemari pisang goreng.

Anuar berkata, dia mula menyedari tanda-tanda Rocky menghidap penyakit apabila kehilangan berat badan dan rambut secara mendadak, namun dia tidak pernah memberitahu sesiapa.

Selepas berakhir musim 1999, Rocky kembali ke England dan keadaan kesihatan ketika itu dilaporkan semakin merosot. – Malaysiapost

(Artikel ini dipetik dari Facebook SK Sports)
Kredit Foto: FB Chedinsphere

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here