Kerajaan Arab Saudi masih belum umum kuota haji tahun ini – Idris Ahmad

0
2

SEHINGGA kini kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan sebarang kuota bagi semua negara yang bakal menghantar jemaah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata bagaimanapun perlaksanaan ibadah haji akan tetap diteruskan dan pastinya ianya adalah berita gembira buat umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata, bagi pemakluman kuota ibadah haji, pihak Tabung Haji (TH) akan sentiasa menantikan perkembangan positif daripada kerajaan Arab Saudi untuk umat Islam di Malaysia bersedia menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

“Pastinya saya mengharapkan penambahan kuota daripada sebelum ini, supaya boleh memberi lebih banyak peluang kepada umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

“Dan saya mengambil peluang untuk perjelaskan kerunsingan ‘headline’ daripada beberapa petikan akhbar berkenaan tiada penambahan kuota haji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Idris sekali lagi menegaskan bahawa tiada keputusan rasmi yang dibuat mengenai kuota haji tahun ini dan ianya bukan hanya melibatkan Malaysia sahaja, tetapi semua negara yang bakal menghantar jemaah haji.

“Teruskan berdoa dan berharap kepada Allah SWT, agar Allah memanggil kita sebagai tetamu-Nya pada tahun ini.

“Dengan prestasi membanggakan TH terhadap pengurusan jemaah haji, sehingga menjadi ‘benchmark’ di rantau Asia, saya optimis ibadah haji bagi umat Islam di Malaysia adalah satu rahmat yang dinantikan dengan penuh sabar dan reda,” katanya.

Beliau berkata, ketika lawatan rasminya ke Arab Saudi baru-baru ini beliau melihat sendiri pemulihan yang sedang berlaku selepas fasa pandemik yang begitu memberi kesan terhadap pelaksanaan haji dan umrah.

“Saya dibentangkan dengan pelbagai maklumat yang terperinci di pihak Kementerian Haji sepanjang persidangan di sana.

“Dalam masa yang sama, pihak Konsulat Malaysia dan TH membawa rombongan kami melawat di pelbagai tempat dan segala perjalanan yang berkaitan dengan Rukun Haji.

“Saya berpeluang melihat sendiri bagaimana Kerajaan Saudi sedang dan berusaha dengan sangat baik bagi mempersiapkan segala keperluan bagi menyambut jemaah haji selepas tertangguh dalam dua tahun akibat wabak Covid-19,” katanya.

Menurut Idris, hakikatnya masih banyak lagi operasi yang secara langsung melibatkan industri di sana tidak beroperasi sepenuhnya.

Katanya, antara sektor berkenaan adalah seperti pembukaan hotel dan rumah penginapan, restoran dan tempat makan dan minum dan beberapa lagi operasi perniagaan yang tidak dibuka sepenuhnya lagi.

“Bagi mereka yang telah menunaikan umrah, pasti sedar situasi yang sedang berlaku di sana,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here