AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran bersama lima kru termasuk tekong warga Indonesia di perairan berhampiran Pulau Jarak, Lumut pada Isnin lalu.
Bot nelayan asing itu dikesan pada kedudukan 15.6 batu nautika timur laut Pulau Jarak kira-kira jam 12.55 tengah hari dan kesemua nelayan yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 26 tahun serta tidak memiliki sebarang pengenalan diri yang sah.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Rawa semasa melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Jarak.
“Nelayan asing berkenaan disyaki menceroboh perairan negara dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Bot serta kru diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh, Perak untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fadzliana berkata, pihaknya berjaya merampas 22 set bubu naga di kedudukan 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, pada jam 3.05 petang, semalam.
Menurutnya, rampasan itu dibuat oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia setelah mengesan kewujudan beberapa pelampung mencurigakan di perairan berkenaan semasa rondaan Op Pintas dan Op Sayong.
“Kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Pemilik bubu naga berkenaan, boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, penangkapan ikan menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
“Kesemua bubu naga yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM2,640 dengan anggaran RM120 setiap set.
“Dalam menangani jenayah di laut, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya. – Malaysiapost

