Sampaikan salam kepada YB Syed Saddiq – Yassin

0
1

PENYANYI nasyid dan komposer, Yassin Sulaiman yang akan didakwa berkaitan kes dadah, meminta wakil media menyampaikan salam beliau kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Sampaikan salam kepada YB Syed Saddiq, minta segerakan kelulusan…,” katanya ketika diiringi anggota polis sebaik tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Yassin ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Khamis lalu.

Difahamkan, penyanyi nasyid berusia 47 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 B akta sama.

Yassin dipercayai meminta media menyampaikan salam kepada Syed Saddiq berikutan bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebelum ini meminta kerajaan memuluskan segera industri penanaman hem bagi tujuan perubatan (medical marijuana).

Pada September 2021, Syed Saddiq dilaporkan berkata pasaran industri penanaman hem dianggar bakal mencecah hingga RM400 bilion dalam tempoh empat tahun lagi.

Presiden MUDA itu berkata perbincangan berdasarkan data dan sains perlu dilakukan supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam industri terbabit, apatah lagi lebih 40 negara sudah melaksanakan industri terbabit termasuk Thailand.

“Ini bukan perkara baru kerana ketika dalam Kabinet ada kajian dilakukan secara terperinci dan perbincangannya mengikut data dan sains.

“Saya harap kerajaan dapat bentangkan satu kertas kerja telus dan ikhlas serta berpandukan data dan sains berkenaan baik buruknya kelulusan industri hem dan medical marijuana ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here