PENGERUSI Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menegaskan DAP kekal teguh sebagai sebuah parti politik walaupun dikhianati ‘katak politik’.
“Roket (logo DAP) tetap berdiri megah walaupun dikhianati oleh katak politik.
“Di mana ada logo Roket, di situ rakyat boleh mendapat bantuan dan perlindungan daripada penindasan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu beliau merasmikan pejabat khidmat DAP Tawau di Sabah.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada Naib Ketua DAPSY Sabah, Philip Yap dan Ketua DAPSY Tawau, Thien Ee Hang yang menubuhkan pusat khidmat tersebut.
Sabtu lalu, dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Sabah yang keluar parti pada Januari lalu, secara rasminya menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Kemasukan Adun Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan Adun Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dalam Warisan diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu. – Malaysiapost

