KANAK-KANAK perempuan berusia lapan tahun yang tular selepas dilaporkan hilang ditemui selamat di kawasan Kondominium di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang memaklumkan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1 Cheras itu ditemui kira-kira jam 9.22 malam tadi.
“Untuk makluman, adik Sofia Raniya telah dijumpai. Berita disahkan oleh IPD Cheras.
“Kanak-kanak tersebut telah dijumpai di Holmes pada jam 9.22 malam,” menurut kenyataan di Facebook Polis KL.
Menurut kenyataan itu, Pusat Kawalan Cheras telah menghantar MPV untuk mengambil kanak-kanak tersebut dan dibawa ke IPD Cheras.
“Kanak-kanak tersebut berada di IPD Cheras untuk diserahkan kepada ahli keluarganya. Terima kasih pada yang share dan mendoakan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial poster berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan sejak petang tadi, dipercayai kerana tersilap menaiki van untuk pulang ke rumah selepas tamat persekolahan. – Malaysiapost

