Madinah terkejut arahan pinda, musnah laporan asal audit 1MDB

0
2

BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bahawa beliau terkejut selepas diberitahu terdapat arahan untuk meminda dan melupuskan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang asal.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Pengarah Audit ketika itu, Datuk Nor Salwani Muhammad bahawa bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Nor Salwani diarahkan meminda laporan audit asal dengan Nor Salwani diarahkan memusnahkannya, lapor Harian Metro.

Madinah berkata, beliau terkejut selepas mengetahui terdapat dua set laporan audit 1MDB, di mana Ambrin diarahkan meminda laporan asal dan Nor Salwani pula menerima arahan memusnahkan salinan yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut Madinah, beliau juga mengetahui bahawa selama ini laporan asal berkenaan disimpan Nor Salwani di bawah kerusinya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada beliau mempunyai idea siapa pelaku yang bertanggungjawab di sebalik arahan pindaan itu, Madinah menjawab: “Tidak.”

“Saya tidak bertanyakan kepada Nor Salwani siapa yang memberikan arahan itu kerana pada waktu itu saya dijadual mengadakan pertemuan dengan kumpulan pegawai lain di bawah saya.

“Saya hanya tahu ia adalah salah bagi Ambrin ketika itu untuk ditekan dan membuat pindaan terhadap apa yang sudah dimuktamadkan dalam laporan ketua audit dan juga ia salah untuk mengarahkan semua laporan asal dilupuskan.

“Selepas Nor Salwani beritahu saya mengenai perkara itu, saya menyimpan laporan itu di tempat selamat dan berkunci dalam bilik saya,” katanya.

Madinah berkata demikian pada perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Madinah berkata, beliau tidak memusnahkan versi asal Laporan Pengauditan 1MDB kerana ia mengandungi maklumat dan bukti material mengenai syarikat pelaburan strategik negara itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhamad Shafee mencadangkan bahawa hanya terdapat satu laporan audit akhir 1MDB dan menyatakan bahawa dokumen yang diterima saksi daripada Nor Salwani adalah deraf sahaja.

Bagaimanapun, Madinah tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu, sebaliknya beliau menegaskan bahawa dokumen yang diterimanya adalah laporan akhir yang sepatutnya dibentangkan kepada PAC.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa, secara umumnya versi asal sesuatu dokumen yang mempunyai ‘watermark’ adalah dianggap sebagai deraf jika ia dihantar untuk dibuat pembetulan, yang dijawab saksi: “Ya, ia mungkin.”

Dalam penyataan saksinya sebelum ini, Madinah yang dirujuk dengan dokumen Laporan Pengauditan 1MDB bertanda watermark ’09’, mengesahkan bahawa ia adalah Laporan Pengauditan 1MDB yang sudah dimuktamadkan.

Peguam itu kemudiannya mencadangkan bahawa adalah tidak salah bagi Najib untuk meneliti laporan itu (yang mungkin boleh dianggap deraf) dan meminta ia dinilai semula, yang dijawab oleh saksi: “Saya tidak akan katakan ia salah.”

Menurut Muhammad Shafee, tidak ada sebarang isu bagi Najib untuk meneliti dokumen itu, malah ia bertepatan dengan prosedur Jabatan Audit Negara (JAN), bagaimanapun Madinah berkata, beliau tidak boleh memberikan komen mengenai amalan yang diguna pakai bukan dalam tempoh perkhidmatannya.

Madinah berkata, ketika berkhidmat dalam JAN, keseluruhan deraf laporan tidak akan diberikan kepada pihak berkepentingan dan menteri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here