SEMUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Johor khususnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus teguh bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang berkata, dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu hanya bersifat provokasi semata-mata.
Katanya, ia bukan perkara baharu dan bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dibuktikan pada sidang Dewan Rakyat.
“Setakat ini, kita semua dalam PN berada dalam satu pasukan yang kuat, bersefahaman dan tidak berganjak.
“Di Johor, kita agak berbeza seperti sedia maklum, kita tidak terikat sangat cara kerajaan Persekutuan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 di sini, hari ini.
Sebelum itu, Anwar mendakwa, beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.
Mazlan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkata, kenyataan itu perlu dibuktikan dalam sidang Dewan Rakyat.
“Dakwaan seumpama itu bukan perkara baharu kerana sudah banyak berlaku sebelum ini.
“Biasalah dalam politik, provokasi satu perkara biasa. Mengenai kesahihan itu, saya tak nampak lagi.
“Tetapi kita di peringkat negeri, kita bersedia apa juga keputusan,” ujarnya.-MalaysiaPost

