Jemaah haji, umrah dinasihat muat turun aplikasi Saudi Visa Bio – TH

0
2
Bangunan Tabung Haji

JEMAAH haji dan umrah negara dinasihati memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing, bagi menjimatkan masa ketika tiba di Arab Saudi untuk mengerjakan ibadat di Tanah Suci.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata aplikasi itu adalah satu inovasi yang baik daripada kerajaan Arab Saudi kerana membantu mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan kastam.

Beliau berkata, jemaah hanya perlu memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar dan melakukan empat langkah mudah iaitu melengkapkan alamat e-mel, imbasan pasport antarabangsa, imbasan muka dan imbasan 10 jari untuk memuat naik informasi ke dalam sistem berkenaan.

“TH menyambut baik inisiatif penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio oleh Kerajaan Arab Saudi dalam penambahbaikan sistem imbasan pasport, imbasan muka dan cap jari (biometrik) sebelum jemaah haji dan umrah Malaysia berlepas ke Tanah Suci.

“Maklumat peribadi dimuat naik ke dalam aplikasi ini akan memudahkan lagi pergerakan masuk ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu juga selari pelan transformasi TH iaitu Hijrah24 dengan rangka kerja teras haji usaha digitalisasi dalam pengurusan haji akan diberi penekanan.

“Rakyat Malaysia amat bertuah kerana kerajaan Arab Saudi memilih Malaysia, antara negara terawal dalam melaksanakan projek perintis aplikasi ini dalam masa terdekat.

“Usaha penambahbaikan seumpama ini perlu diteruskan di masa-masa hadapan, demi memberi perkhidmatan terbaik kepada para jemaah,” katanya.

TH berkata, bermula 2017, Malaysia adalah negara pertama di dunia terpilih sebagai perintis bagi program Pra-Pelepasan Haji dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here