DAP tidak membantah peruntukan RM11.4 bilion untuk masyarakat Bumiputera tetapi menggesa peruntukan yang lebih dan adil untuk Sabah, Sarawak serta semua rakyat Malaysia.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis dalam peruntukan Belanjawan tidak akan membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian golongan miskin dan perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Tindakan meningkatkan kuota Bumiputera bagi kontrak besar perolehan kerajaan daripada 30% kepada 61% tanpa sebarang perundingan turut menimbulkan banyak persoalan mengenai keadilan kepada masyarakat bukan Bumiputera dan meningkatkan daya saing.
“Sabah dan Sarawak yang hanya mendapat manfaat yang kecil daripada kuota Bumiputera, menimbulkan persoalan keadilan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Guan Eng, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, Sabah telah menerima peruntukan tertinggi di antara semua negeri.
“Tidak boleh dinafikan bahawa daripada segi peratusan, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang lebih rendah di bawah Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2020 PH.
“Perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2022 meningkat kepada RM75.6 bilion berbanding RM56 bilion dalam Bajet 2020 PH.
“Bagaimanapun, Sabah masih menerima jumlah perbelanjaan pembangunan RM5.2 bilion yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang diperuntukkan PH dalam Belanjawan 2020,” katanya.
Dalam erti kata lain, Guan Eng berkata, Sabah menerima peruntukan yang lebih rendah iaitu 6.9 peratus daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2022 berbanding 9.3 peratus di bawah PH.
“Jika Sabah diberi 9.3% perbelanjaan pembangunan yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang PH telah diberi dalam Belanjawan 2020, maka Sabah sepatutnya menerima RM7 bilion dan bukannya RM5.2 bilion dalam Belanjawan 2022,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: FB Lim Guan Eng

