MAHKAMAH Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap selebriti, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.
Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap artis berusia 34 tahun itu selepas dia membuat pengakuan bersalah, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, lapor Sinar Harian.
Pendengaran kes Zarina Anjoulie sepatutnya diadakan esok, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada hari ini.
Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan.
Bagaimanapun, Zarina Anjoulie telah membayar denda itu.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.
Sebelum ini media melaporkan, Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada 29 Jun 2021.
Mengikut pertuduhan, dia menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya juga didapati positif dadah.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. – Malaysiapost

