PEMAIN Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan pada 14 Mac 2022.
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata surat amaran telah dikeluarkan kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan.
Pada masa sama, katanya, bekas pemain pertahanan Kedah itu sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.
“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu Mohd Rizal yang diletakkan dalam senarai bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim, Mohd Syahmi Safari.
Mohd Syahmi meminta pengecualian untuk tidak melapor diri kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.
Berikutan keengganan Mohd Rizal melapor diri, Pan Gon memanggil seorang lagi pemain dari senarai bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee. – Malaysiapost
Foto Kredit: Sabah FC

