UiTM teliti isu video tular pensyarah, ambil tindakan sewajarnya 

0
2
logo uitm

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menegaskan telah meneliti isu video tular melibatkan seorang pensyarahnya yang mengeluarkan komen sensitif terhadap seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai komputer riba. 

Menerusi satu kenyataan hari ini, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata pihak universiti mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan. 

Bagaimanapun tidak dinyatakan bentuk tindakan yang sudah atau bakal dikenakan terhadap pensyarah dengan gelaran profesor terbabit. 

Menurut Dr Roziah, UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak. 

Beliau berkata, UiTM amat prihatin dengan keperluan para pelajar terutamanya dalam pembelajaran norma baharu. 

Pada masa sama katanya, UiITM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif. 

“Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti. 

“Sememangnya dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40. Justeru, segala kemudahan pembiayaan melalui dana-dana tertentu disediakan oleh UiTM. 

“UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi dihadapi pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian,” katanya. 

Dr Roziah menambah, pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan pelajar kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni. 

Sementara itu Berita Harian melaporkan, Dr Roziah berkata pensyarah tersebut adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU). 

“Saya difahamkan, insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam,” katanya. 

Terdahulu tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba. 

Dalam klip itu juga, beliau memberitahu agar pelajar tersebut meminta kakaknya menggadai barang kemas untuk membeli sebuah komputer riba. 

Susulan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta UiTM menjelaskan berhubung video tular seorang pensyarahnya didakwa memperlekeh pelajar dari golongan B40. 

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau telah mengambil maklum berkenaan isu serta video yang tular tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here