Nurul Huda Abhar
LAMAN media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM) ‘diserang’ netizen hari ini, susulan video tular seorang pensyarah memarahi pelajar daripada keluarga B40 kerana tidak mampu membeli komputer riba.
Tinjauan Malaysiapost di Facebook Universiti Teknologi Mara – Media Rasmi, mendapati satu hantaran berkaitan maklumat kalender akedemik menjadi sasaran netizen melepaskan geram.
Rata-rata netizen meminta UiTM mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung video tular memaparkan aksi pensyarah bergelar profesor memarahi pelajar semester lima yang menggunakan telefon bimbit ketika mengikuti kelas dalam talian.
“Apa tindakan UiTM terharap warga kerja yang menghina pelajar B40? UiTM harus bertanggung jawab terhadap kenyataan pensyarah tersebut yang telah viral dan memalukan UiTM di mata rakyat Malaysia,” ujar seorang netizen.

“UiTM perlu mengambil tindakan tegas terhadap Prof Ts Dr Roshana Takim. UiTM perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Fakrullah Lokman.
Dalam pada itu, pengguna media sosial juga berkata pensyarah tersebut tidak wajar merendahkan golongan B40 kerana UiTM adalah sebuah institusi pendidikan yang membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.
“Setahu saya UiTM kebanyakkan anak-anak adalah daripada keluarga B40 dan ke bawah. Nak tanya adakah ungkapan prof itu menghina B40 di Uitm?,” soal Neezam Yantz.

“UiTM ini tempat menuntut ilmu khas untuk anak-anak dari golongan VIP dan orang kenamaan sahaja ke?
“Macam ini ke UiTM ambil warga pendidik? Sangat kualiti rendah tidak berperikemanusiaan. UiTM ini memang institusi beri peluang pada anak bangsa golongan tidak mampu melanjutkan pelajaran ke menara gading,” kata Izzatul Diana.
Setakat ini, UiTM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, tular video memaparkan pensyarah universiti awam dengan gelaran Profesor menyelar pelajarnya kerana dipercayai tidak mampu memiliki komputer riba.
Pensyarah itu juga memberitahu agar pelajar tersebut meminta kakaknya menggadai barang kemas untuk membeli sebuah komputer riba.
Dalam sesi kelas secara atas talian itu juga, pensyarah terbabit menyuarakan rasa kesal dengan sikap golongan B40 yang dikatakan mementingkan hal lain berbanding gajet untuk pendidikan. – Malaysiapost

