‘Dulu macam-macam kutukan, kecaman, sekarang ramai yang lega’ 

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur kerana dapat merasakan ramai pihak melahirkan rasa lega susulan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Beliau turut menzahirkan rasa lega setelah menerima kutukan serta diperli pelbagai pihak atas usaha pemuda Umno mendesak agar pengeluaran khas kali terakhir itu dibenarkan oleh kerajaan. 

“Alhamdulillah, dapat rasakan kelegaan dan kesyukuran ramai atas kelulusan pengeluaran khas RM10k one-off/sekali gus. 

“Macam-macam kutukan, perlian, kecaman segelintir waktu kami memperjuangkan suara hati rakyat.  

“Hakikatnya ramai amat tertekan dan terdesak akibat perlaksanaan PKP separa masak paling lama oleh kerajaan sebelum ini, mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan, dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi satu komen yang ditinggalkan di Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata memang benar ada sedikit bantuan daripada kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Khas Covid (BKC) dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). 

Namun katanya, bukan semua yang dapat bahkan sehingga hari ini ramai yang tercicir lantaran karenah birokrasi dan bukan dalam kategori B40. 

Sebab itulah beliau berkata, permintaan rakyat untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka adalah suatu yang amat diperlukan demi kelangsungan hidup dan melangsaikan pelbagai komitmen tertunggak.  

“Hanya yang terkesan dapat memahami betapa terdesaknya rakyat. Ini bukan sekadar perjuangan populis. Apa-apapun terima kasih YAB PM kerana akhirnya mendengat getus nadi dan suara hati rakyat.  

“Terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Seri Najib yang sejak awal konsisten memperjuangkan suara rakyat marhain ini,” katanya. 

Semalam KWSP memaklumkan pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 di bawah kemudahan pengeluaran khas boleh membuat permohonan melalui portal khas. 

KWSP berkata, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here