Selamatkan Sapura Energy, demi kelangsungan syarikat strategik Bumiputera

0
2

Khairuddin Aman Razali

SAPURA Energy Bhd (SEB) yang mencatat kerugian bersih luar biasa sebanyak RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 dijangka mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan ini.

Syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan berikutan paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi seterusnya kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.

SEB merupakan syarikat minyak dan gas (O&G) kedua terbesar di dunia dengan pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 40 peratus, Sapura Holdings Sdn Bhd (14 peratus) dan selebihnya milikan awam.

Syarikat itu wajar diselamatkan kerana ia turut dimiliki dana rakyat, merupakan perniagaan strategik negara dan paling utama mempunyai 4,000 vendor utama dengan lebih separuh daripadanya adalah syarikat Bumiputra bertaraf dunia selain ramai kakitangan Melayu Islam. Vendor-vendor ini berhadapan risiko gulung tikar jika tidak mendapat bayaran yang patut diterima daripada SEB.

Justeru, berikut adalah syor-syor untuk membantu SEB:-


a. Seperti AirAsia Group Bhd (sekarang Capital A Bhd) yang diberi peluang oleh Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) untuk mendapat 80 peratus pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan
PRIHATIN Danajamin berikutan pandemik COVID-19 meskipun kemudiannya tidak diambil oleh AirAsia, maka sewajarnya SEB diberi peluang yang serupa. Hal ini kerana sebagai syarikat berdaya maju dan strategik negara dalam industri O&G, SEB wajar dipertahankan sebelum ‘dirampas’ oleh pihak-pihak yang rakus yang mungkin akan menjejaskan vendor dan pembekal Bumiputera khususnya.

b. PETRONAS perlu memainkan peranannya untuk tujuan pengambilalihan selaras dengan hasratnya memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM50 bilion pada tahun ini berbanding RM30.5 bilion pada tahun kewangan 2021. Syarikat minyak negara itu juga mencatatkan keuntungan sejak 2018.

c. SEB diambil alih oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE), anak syarikat MISC Berhad yang memiliki sinergi yang sama dalam industri O&G.

d. PNB menswastakan SEB sementara harga penilaian sangat rendah sebelum melangsaikan hutang-hutang SEB kepada vendor-vendor yang bernilai RM4 bilion diperluaskan. Ia memerlukan sehingga RM7 bilion untuk mengambil langkah ini.

e. Sebagai aset strategik kepada PNB, instrumen pelaburan untuk membantu rakyat itu boleh meneruskan peranannya dengan lebih baik iaitu menyuntik lebih banyak dana demi untuk menyelamatkan SEB selain mencari pelabur-pelabur strategik baharu selaras dengan misinya iaitu meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, demi kemakmuran negara.

  1. Ada persoalan yang memerlukan jawapan daripada kerajaan iaitu tindakanMalayan Banking Bhd (Maybank) yang juga dimiliki oleh PNB dan mengetuai konsortium bank menarik sokongan untuk modal kerja SEB bernilai RM2 bilion ketika Pakatan Harapan mentadbir yang sehingga kini menjadi sebab kegagalan SEB? Persoalan ini perlu dirungkai untuk mengetepikan sebarang spekulasi terhadap apa yang berlaku kepada SEB sedangkan bank memperoleh keuntungan walaupun pandemik melanda negara dan dunia.
  2. Kerajaan diharapkan dapat membuat keputusan segera demi menyelamatkan syarikat yang strategik dan memiliki aset-aset yang berupaya menyumbangkan
    kepada ekonomi negara.
    .
    Penulis ialah bekas menteri dan Ahli Parlimen Kuala Nerus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here