BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan Tan Sri Lee Kim Yew kerana menghantar surat buat kali kedua kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengharamkan slogan ‘Malu Apa Bossku’ dalam kempen pilihan raya.
Najib berkata, sepatutnya Kim Yew yang juga ahli seumur hidup MCA itu menghantar surat berkenaan kepada Jabatan Agama Islam dan bukannya SPR, apabila mendakwa slogan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
“Taikun merangkap rakan niaga Mahathir tulis surat kedua kepada SPR untuk minta haramkan ‘Malu apa Bossku’ sebab dia kata ianya melanggar agama Islam.
“Kenapa tulis kepada SPR pulak? Tulis kepada Jabatan Agama,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Najib juga menyindir Kim Yew kerana menyifatkan kempen dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’ amat bahaya seperti Coronavirus dan senjata biokimia.
“Taikun kata kempen ini sangat bahaya seperti Coronavirus dan senjata bio-kimia. Semakin giler geng sebelah sana,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, Kim Yew yang juga taikun perniagaan dilaporkan telah menulis surat kepada SPR berhubung kempen Najib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan slogan ‘Malu Apa Bossku’ bertentangan dengan ajaran Islam dan perlu dihentikan.
Menerusi surat kedua bertarikh 27 Mac yang dihantar kepada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, Kim Yew turut mengulangi pendirian sama selain menyifatkan penggunaan slogan itu untuk tujuan kempen adalah bertentangan dengan perlembagaan.
Menurut surat itu, Kim Yew menggesa SPR mengharamkan slogan tersebut dengan menyifatkan kempen berkenaan umpama senjata biokimia, ia menjangkiti otak dan minda sihat rakyat umpana Coronavirus.
Terdahulu, Pemuda MCA turut meminta Kim Yew meletak jawatan sebagai ahli seumur hidup MCA, jika sudah ‘jatuh cinta’ dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Parti Pejuang pimpinan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata, Kim Yew yang juga taikun terkenal perlu menghormati peraturan MCA, apa lagi ramai pihak telah membuat aduan mengenai tingkah lakunya.
Katanya, MCA mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi dan ramai ahli telah membuat aduan berhubung tindakan Kim Yew berkempen dengan Tun Dr Mahathir dan Pejuang dalam PRN Johor baru-baru ini. – Malaysiapost

