MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berpendapat sistem penjara dan pelaksanaan hukuman di Malaysia sedia ada boleh ditambahbaik bagi kebaikan semua pihak.
Beliau berkata, beberapa perkara boleh diperbaiki berdasarkan kajian dibuat oleh pihak luar negara iaitu Her Majesty’s Prison and Probation Service (HMPPS).
“Sebentar tadi saya menerima kunjungan hormat delegasi Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia diketuai oleh Charles Hay, turut serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, David Thomas, Penasihat Politik, Tom Shepard serta David Redhouse dari HMPPS.

“Dalam sesi kunjungan hormat itu kami telah membincangkan perihal perkembangan politik Malaysia dan Britain serta bertukar pandangan mengenai sistem perundangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu wakil daripada HMPPS turut membentangkan hasil dapatan kajiannya selaku ‘seconded officer’ berkenaan sistem penjara dan pelaksanaan hukuman di Malaysia serta cadangan menambahbaik sistem tersebut.
Wan Junaidi berkata, sesi pembentangan itu turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Penjara Malaysia.
“David Redhouse telah membangkitkan banyak perkara, antara lain, penyebab bagi kadar kematian (causes of natural death), situasi semasa di penjara-penjara Malaysia dan pelaksanaan hukuman di Britain sebagai perbandingan.
“Saya berpendapat bahawa kesemua perkara yang telah dibangkitkan melalui kajian tersebut perlu diteliti agar sistem yang digunapakai pada masa sekarang dapat ditambahbaik demi kebaikan semua pihak,” katanya. – Malaysiapost

