Kim Yew perlu tinggalkan MCA jika sudah suka Tun M, Pejuang

0
1

PEMUDA MCA meminta Tan Sri Lee Kim Yew meletak jawatan sebagai ahli seumur hidup MCA, jika sudah ‘jatuh cinta’ dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Parti Pejuang pimpinan bekas Perdana Menteri itu.

Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata Kim Yew yang juga taikun terkenal perlu menghormati peraturan MCA, apa lagi ramai pihak telah membuat aduan mengenai tingkah lakunya.

“Tan Sri Lee Kim Yew yang dihormati, Jika anda sudah jatuh cinta dengan Tun Mahathir dan Pejuang, sila berhenti daripada MCA.

“Parti ini juga mempunyai peraturan dan ramai ahli telah membuat aduan tentang anda berkempen dengan Tun Mahathir dan Pejuang dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini,” katanya.

Ketika kempen PRN Johor lalu, Kim Yew mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kempen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan tagline, ‘Malu apa bossku’.

Kim Yew menyifatkan ia bertentangan dengan ajaran Islam, justeru perlu dihentikan.

Beliau menulis surat itu surat itu atas kapasiti sebagai ahli seumur hidup MCA, parti komponen BN, mempertikaikan kempen Najib pada PRN Johor walaupun sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International.

Semalam Kim Yew menulis satu lagi surat kepada SPR meminta diharamkan “Malu Apa Bossku” atas alasan sama.

Ketika berkempen dengan Dr Mahathir di Ayer Hitam, Kim Yew turut membidas Najib dan menggesa anggota masyarakat supaya tidak bercampur dengan ‘orang yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah’. – Malaysiapost

Kredit Foto: Free Malaysia Today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here