Pengembara antarabangsa diingatkan muat turun MySejahtera – KJ

0
2

SEMUA pengembara antarabangsa yang ingin berkunjung ke Malaysia bermula 1 April ini diingatkan supaya memuat turun aplikasi MySejahtera.

Menteri Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata ia antara beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum pengembara berlepas ke Malaysia.

Dalam satu video penerangan mengenai pembukaan sempadan negara, beliau memberi penerangan ringkas mengenai apa yang pelawat perlu lakukan.

“Hai saya KJ, Menteri Kesihatan Malaysia. Anda pasti sudah mendengar mengenai pembukaan semula sempadan Malaysia untuk pengembara antarabangsa bermula 1 April ini.

“Pengembara yang sudah lengkap vaksinasi tidak lagi perlu dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

“Jika anda mempunyai perancangan untuk ke Malaysia bermula 1 April, ini apa yang perlu anda lakukan sebelum berlepas,” katanya dalam video berkenaan.

Menurutnya, pengembara perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan daftar akaun sebelum perlu mengisi borang pra-perlepasan. 

“Lakukan ujian saringan PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas dan hanya meneruskan perjalanan jika keputusan saringan adalah negatif.

“Bagi pelawat jangka pendek, anda perlu mendapatkan perlindungan insurans perjalanan Covid-19.

“Anda kemudian boleh melayari pautan mysafetravel.gov.my untuk mengesahkan sijil vaksinasi anda,” katanya.

Khairy berkata, apabila tiba di Malaysia prosesnya adalah mudah cuma perlu pemeriksaan pasport. 

“Satu lagi perkara yang anda perlu lakukan adalah menjalani ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di mana-mana fasiliti kesihatan dan ia juga boleh dilakukan di lapangan terbang.

“Untuk maklumat lanjut mengenai protokol perjalanan ke Malaysia anda boleh layari mysafetravel.gov.my,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pelawat antarabangsa agar terus memakai pelitup mulut dan hidung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here