BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan para pakar perubatan dan petugas Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.
Majlis itu diadakan setelah hampir dua bulan dibenarkan keluar dari IJN selepas lebih dua minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU).
Menurut Negarawan berusia 96 tahun itu, keadaan kesihatannya kini semakin baik dan boleh bekerja hampir seperti dulu.
Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui beliau tidak tahu bagaimana hendak mengucapkan terima kasih kepada doktor-doktor pakar IJN dan pakar-pakar perubatan jemputan lain yang merawat semasa sakit.
“Saya benar-benar percaya masa saya sudah sampai. Entah macam mana para doktor dapat memulihkan tahap kesihatan saya, pada saya ini satu keajaiban,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Video ucapannya dimuat naik di laman YouTube Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Dr Mahathir berkata, kejayaan pakar-pakar memulihkan tahap kesihatannya membuktikan Malaysia memiliki kumpulan pakar yang boleh rawat kes sangat serius seperti dihadapinya.
Terima kasih kepada pada pakar, doktor, pembantu perubatan dan semua staf yang bertungkus-lumus membantu memulihkan semula tahap kesihatan saya,” katanya lagi.
Beliau turut berseloroh mahu memberi RM100 kepada setiap pakar yang terlibat, tetapi membatalkan niat itu kerana ia satu bentuk rasuah.
“Jadi saya beri sijil penghargaan, saya tak pasti pernah ada pesakit beri sijil penghargaan kepada doktor sebagai penghargaan,” katanya.
Pada 22 Januari lalu, pejabat bekas Perdana Menteri itu mengesahkan beliau dirawat di CCU IJN sebelum dibenarkan pulang pada 5 Februari. – Malaysiapost

