Masih dalam kerajaan sama, hubungan BN-Bersatu tak renggang – Annuar Musa 

0
2

HUBUNGAN Barisan Nasional (BN) dan Bersatu di peringkat nasional tidak renggang berikutan kedua-dua parti masih berada dalam satu kerajaan yang sama, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. 

Bekas Setiausaha Agung Umno itu turut menegaskan apa yang berlaku antara kedua-dua parti adalah lumrah politik, lapor Berita Harian. 

“Saya rasa tidak renggang (hubungan BN-Bersatu). Kita masih dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  

“Kita adalah satu gabungan beberapa parti termasuklah adanya Bersatu. Masing-masing sedang membuat pelarasan jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana ini satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan. 

“Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan setiap parti mempunyai kaedah penentuan oleh pelbagai peringkat jawatankuasa dan sebagainya. 

“Saya tidak menganggapnya (hubungan BN dan Bersatu) sebagai ‘berpatah arang berkerat rotan’,” katanya di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas semalam. 

Menurut Annuar, setiap parti harus menerima hakikat politik adalah ‘seni segala kemungkinan’ dan tiada yang kekal.  

Beliau memberi contoh, BN suatu ketika dulu mempunyai banyak parti sehingga berbelas-belas, namun sekarang hanya tinggal empat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here