JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu dengan penahanan empat suspek dalam beberapa serbuan di sekitar Kuantan, Khamis lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menjalankan empat serbuan dan merampas dadah jenis heroin seberat 2274.25 gram serta syabu seberat 1269.14 gram yang bernilai RM76,000.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia 32 hingga 42 tahun dalam serbuan sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam di dua lokasi di Taman Sri Mahkota Maju, satu lokasi di Plaza Tol Gambang dan satu lokasi di Lepar Hilir, Gambang.

“Dadah jenis heroin yang dirampas boleh dibekalkan kepada 4548 orang penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.
“Syabu yang dirampas pula boleh dibekalkan kepada 2,538 orang penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket termasuk tiga buah kereta, lapan buah motosikal dan wang tunai dianggarkan bernilai RM559,928.
“Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM636,092 dan sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis Heroin dan Syabu daripada Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda sekitar daerah Kuantan.
“Dengan tangkapan ini, Polis Pahang telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Kuantan yang didalangi oleh warga tempatan,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – Malaysiapost

