Nilam Oshman
RAMADAN kali ini pasti meriah apabila program edaran juadah tradisi 100 tahun iaitu bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru kembali diteruskan tahun ini.
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Muahalim Isman berkata beliau bersyukur kerana seperti tahun lalu, kerajaan membenarkan program tersebut diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, pihak masjid kini sibuk menyediakan bahan-bahan kering terlebih dahulu, manakala barangan basah seperti daging dan ayam ditempah setiap hari sepanjang Ramadan untuk mengekalkan rasa ‘segar’ bubur lambuk itu.
Tambahnya, orang ramai boleh mula mengambil bungkusan bubur lambuk selepas solat Asar iaitu jam 5 petang di masjid mulai 1 Ramadan nanti.
“Seperti biasa program bubur lambuk, iaitu program tahunan yang bermula sejak 20 tahun lalu diteruskan, kecuali dua tahun lalu ketika negara berdepan Covid-19. Tahun lalu kita buat balik dan tahun ni kita sambung, Alhamdulillah.
“Jadi, untuk persediaan, sekarang ini kita tengah tunggu barang masuk seperti beras, minyak, rempah dan banyak lagi. Bahan basah pula setiap hari kita tempah.
“Setiap hari, kita tetap sediakan 15 periuk bersamaan 3,000 bungkus bubur lambuk sehari.. kita mula operasi untuk masak sampai bungkus dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.
“Manakala edaran bubur lambuk dari jam 5 petang. Kita akan edar lepas Asar kepada jemaah di pintu masuk masjid dan orang awam,” katanya kepada Malaysiapost.
Muahalim berkata, persediaan dan pengagihan bubur lambuk akan berjalan seperti biasa termasuk mengimarahkan masjid.
“Keistimewaan tahun ini kita dapat mengimarahkan masjid semula… kita dapat buat semula khatam Al-Quran ketika solat terawih, serta makanan juga disediakan ketika berbuka, moreh dan sahur.
“Selain itu, masjid Kampung Baru satu-satunya di Kuala Lumpur yang buat qiamullail dari Ramadan pertama sampai malam ke-30,” katanya. – Malaysiapost

