SELEPAS tiga penggal berada dalam kerajaan Selangor, DAP tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang dan hanya bergantung kepada kejayaan sebelum ini.
Sehubungan itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata pimpinan DAP Selangor perlu berusaha bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membina naratif baharu dan menawarkan idea segar kepada rakyat, selari keperluan dan citarasa semasa.
“Saya cukup yakin dengan kemampuan pasukan DAP Selangor untuk terus melakukan yang terbaik dan membantu menyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyokong perjuangan kami.
“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya akan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha dibawa DAP Selangor untuk terus mempertahankan mandat kami di negeri itu dalam pilihan raya akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Terdahulu beliau hadir sesi penutup Pemukiman Politik DAP Selangor, antara lain bagi memberi kata-kata semangat kepada seluruh pimpinan negeri DAP Selangor yang terdiri Ahli Parlimen, Adun dan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.
Menurut Loke, wakil rakyat dan pemimpin DAP Selangor memainkan peranan sangat penting bukan sahaja sebagai pemimpin negeri, tetapi oleh kerana ramai penduduk Selangor berasal dari negeri lain, mereka juga berkhidmat kepada rakyat dari seluruh negara.
Justeru katanya, prestasi dan dasar dilaksanakan kerajaan PH Selangor mempunyai impak besar kepada tanggapan dan persepsi ramai rakyat Malaysia terhadap DAP dan PH.
“DAP telah bersama dengan parti-parti komponen PH yang lain membentuk kerajaan Selangor sejak PRU 2008. Selama tempoh 14 tahun ini, banyak inisiatif dan dasar mesra rakyat dilaksanakan demi kebajikan rakyat Selangor.
“Kerajaan Selangor juga antara negeri paling menonjol dalam memperkasa peranan institusi Dewan Undangan Negeri dengan pelbagai pembaharuan dan reformasi untuk memastikan urus tadbir yang baik dan sistem kerajaan lebih telus.
“Namun, cabaran terbesar untuk DAP dan PH di Selangor ialah bagaimana menyakinkan rakyat untuk terus menyokong agenda kami dalam PRU15,” katanya. – Malaysiapost

