DAP Sabah harap dua ADUN sertai Warisan jadi ‘katak politik’ terakhir

0
2

DAP Sabah berharap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyertai Warisan baru-baru ini menjadi kumpulan terakhir ‘katak politik’.

DAP Sabah dalam kenyataan berkata, harapan itu dinyatakan kepimpinan parti, selain berharap ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan Adun Elopura, Calvin Chong yang meletak jawatan dalam DAP menjadi wakil rakyat terakhir meninggalkan parti berkenaan.

“Justeru, DAP Sabah berharap Calvin Chong dan Justin Wong menjadi kumpulan terakhir katak politik sebelum pelaksanaan undang-undang anti lompat parti.

“Semoga undang-undang anti-lompat parti mengembalikan keadilan kepada mandat rakyat dan keyakinan awam,” menurut kenyataan itu.

DAP Sabah berkata, pihaknya sudah terbiasa dengan katak politik, yang memberi alasan untuk mewajarkan keputusan mereka.

“Sejak Langkah Sheraton, semua katak politik termasuk (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali mewajarkan tindakan mereka berpaling tadah untuk rakyat.

“Katak-katak politik ini serupa, mereka kemudian akan mengkritik dan mengutuk parti mereka dahulu tetapi rakyat cerdik,” katanya.

Sehubungan itu, DAP Sabah turut membidas Warisan kerana menerima dua pembelot dan memberi amaran bahawa parti itu tidak boleh dipercayai kerana bukan saja menerima pengkhianat, malah menyantuni Umno secara terbuka.

“DAP Sabah mengalu-alukan rang undang-undang anti lompat parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 April ini. Ini adalah satu pencapaian penting bagi demokrasi Malaysia kerana ia adalah usaha bipartisan untuk menamatkan ‘katak politik’ untuk selama-lamanya.

“Rakyat Sabah lebih memahami berbanding orang lain kerana kita telah menghadapi banyak pengkhianatan daripada katak politik.

“Budaya lompat parti yang tidak beretika telah membawa kerosakan yang besar kepada Sabah sejak kejatuhan kerajaan PBS pada 1994 sehingga hari ini. Budaya ini mesti dihapuskan selama-lamanya demi masa depan Sabah dan Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemimpin parti itu menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat menentukan masa depan politik negeri itu serta menyokong Sabah yang demokratik, berprinsip dan bersih.

“Bagi Warisan, sejak mereka bertanding di kerusi Pakatan Harapan (PH) di Johor, menerima katak politik DAP dan kini secara terbuka mencari kerjasama dengan Umno, ini telah mendedahkan agenda sebenar mereka bahawa mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada pembangkang,” katanya.

DAP Sabah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini menunjukkan bahawa kekuatan Umno telah kembali.

“Kami telah berulang kali menegaskan bahawa hanya pembangkang yang bersatu akan berpeluang untuk menewaskan dan menyekat Umno sekali lagi. Bagaimanapun, keadaan semasa adalah pesimis dan mengecewakan.

“Shafie pernah menjadi pemimpin tertinggi Umno dan jelas memahami akibat Umno kembali dengan hegemoninya. Jika kita terus berpecah-belah, Umno kembali berkuasa di Sabah hanya menunggu masa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here