TAMPARAN hebat buat Bersatu Bahagian Wangsa Maju apabila 150 ahlinya mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Umno.
Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata Ketua Srikandi bahagian itu, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid telah menyerahkan borang keahlian mereka, hari ini.
“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi Umno Wangsa Maju kerana telah menerima sebanyak 150 borang ahli Bersatu yang menyertai Umno. Ianya diketuai oleh Ketua Srikandi Wangsa Maju, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid.
“Sebenarnya ‘timing’ cukup baik sebab menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tahun ini dan kebetulan mereka ini masuk Umno akan menambahkan jentera parti walaupun Umno Wangsa Maju mempunyai berbelas ribu ahli,” katanya dipetik Umno Online, hari ini.
Mohd Shafei menambah, kemasukan 150 ahli Bersatu akan menguatkan lagi Umno Bahagian Wangsa Maju untuk terus berkerja keras demi kemenangan pada pilihan raya nanti.
“Kita mendoakan agar penyatuan bekas-bekas ahli Bersatu yang masuk pada Umno boleh menguatkan lagi parti ini dan bersama-sama berjuang untuk anak bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu Ketua Srikandi Wangsa Maju, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid mengistiharkan keluar dari Bersatu berkuatkuasa serta merta dan menyertai Umno akibat hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu.
“Kami hilang kepercayaan dari kepimpinan atasan kerana tidak pandai menjaga akar umbi. Apabila akar umbi tidak dijaga makanya ahli-ahli akan berkeliaran. Setinggi mana pun kita… kita kena jaga akar umbi.
“Kami memberi ruang dan peluang melihat perkembangan Bersatu akan tetapi melihat semakin hari semakin teruk kepimpinannya malah Ketua Bersatu Wangsa Maju tidak memberi kerjasama pada kami dan mengambil kata sepakat untuk meninggalkan Bersatu dan memasuki Umno,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Umno Online

