Kedah benar rapatkan saf solat berjemaah 1 April

0
1
Masyarakat Islam hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menunaikan solat Jumaat ketika tinjauan Malaysiapost hari ini. Difahamkan hanya 300 orang sahaja dibenarkan oleh petugas-petugas masjid. Kerajaan membenarkan solat di masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri ketika pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini.

KEDAH membenarkan solat jemaah, solat Jumaat dan tarawih tanpa penjarakan fizikal di semua masjid serta surau, berkuat kuasa 1 April ini selaras fasa peralihan ke endemik.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd Yusri Md Daud, berkata perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Katanya, selain itu, pelaksanaan solat jenazah turut dibenarkan tanpa penjarakan fizikal atau dengan saf dirapatkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penjarakan fizikal masih diwajibkan bagi aktiviti selain solat berjemaah.

“Majlis berbuka puasa, sahur dan moreh perlu dilaksana dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang satu meter, manakala makanan digalak untuk disediakan secara berbungkus.

“Selain itu, program Ihya Ramadan seperti kuliah dan lain-lain aktiviti pengimarahan, juga perlu dilakukan dengan penjarakan fizikal.

“Majlis qiamullail dan iktikaf turut dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, di hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 perlu dilaksanakan dengan mengutamakan langkah yang ditetapkan untuk pencegahan Covid-19.

Beliau berkata, amalan ziarah kubur pula perlu dilaksanakan tanpa perkumpulan yang sesak, dengan memastikan penjarakan fizikal minimum satu meter.

“Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid serta surau juga dilaksanakan dengan pematuhan SOP dalam tempoh bersesuaian.

“Begitu juga majlis akad nikah di masjid, mereka yang hadir perlu memastikan penjarakan fizikal minimum,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here