SOLAT berjemaah di masjid dan surau di seluruh Selangor dirapatkan saf seperti biasa mulai 1 April ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk melaksanakan ketetapan tersebut.
“Ketetapan itu dibuat setelah baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.
“Baginda turut membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara untuk mengelakkan kesan mendalam akibat Covid-19, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan institusi masjid serta surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Mohd Shahzihan turut memaklumkan Sultan Sharafuddin berkenan solat tarawih dibenarkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor.
“Hanya individu berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksin Covid-19, membawa sejadah dan memakai pelitup muka termasuk sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau.
“Individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi di Selangor.
“Oleh itu, baginda menasihati rakyat Selangor untuk terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

