DATUK Seri Najib Razak hairan tindakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang masih cuba menyalahkannya dan Barisan Nasional (BN) berhubung penangguhan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Jelas Najib, isu itu sepatutnya tidak timbul kerana kelulusan telah diberikan pada 2018 sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Namun, katanya, pentadbiran telahpun bertukar dengan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan sepatutnya rancangan itu boleh diteruskan, tetapi Guan Eng tidak berbuat demikian.
“Sehingga semalam, DAP masih terus berusaha kuat untuk tipu warga Pulau Pinang dengan salahkan saya dan BN kenapa projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang tertangguh.
“Sudah-sudahlah DAP. Mudah ceritanya; pada 2017, Guan Eng berterima kasih pada Najib kerana umumkan projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang (LTPP) dalam bajet 2018.
“Pada 2018, Menteri BN umum syarikat milik kerajaan MAHB telah dipilih untuk projek dan kerja pembinaan akan mula hujung tahun itu.
“Bagaimanapun, lepas itu, kerajaan bertukar. Namun persoalan utama ialah kenapa projek ini tidak disambung dan tak pernah bermula dalam tempoh pemerintahan kerajaan PH biarpun ianya sudah diluluskan oleh saya dalam bajet 2018 dan Malaysia Airlines Holdings Berhad (MAHB) telah dilantik untuk mengendalikan projek?,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, PH memberi alasan kerajaan tiada duit dan ingin menswastakan projek tersebut kepada kroni iaitu bukan diusahakan oleh MAHB seperti diluluskan kerajaan BN dahulu.
“Menteri Kewangan Lim Guan Eng (pada waktu itu) mengatakan pembiayaan daripada pihak swasta adalah diperlukan memandangkan projek tersebut melibatkan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM1.2 bilion.
“Manakala, pada tahun 2020 pula, kerajaan PN tangguhkan projek lagi sebab pandemik Covid serta lockdown berterusan memberi impak besar kepada sektor penerbangan dan pelancongan yang juga banyak menjejaskan keadaan kewangan MAHB,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, kesimpulannya kerajaan BN ketika pentadbiran beliau yang meluluskan dan memulakan projek terbabit.
“Kerajaan PH masa Atokmu (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan menteri kewangan dan Menteri Pengangkutan dari DAP yang tangguhkan sebab mahu beri pada kroni.
“Kerajaan PN masa Abah kau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tangguhkan kerana pandemik dan lockdown.Tapi yang DAP salahkan semalam ialah Najib dan kerajaan BN dahulu?,” katanya. – Malaysiapost

