SINGAPURA bernasib baik dapat menewaskan Malaysia yang jelas masih terkial-kial untuk menjaringkan gol.
Anak legenda bolasepak Singapura, Ikhsan Fandi seolah-olah mengajar Malaysia bahawa menguasai perlawanan tanpa menjaringkan gol tidak membawa sebarang makna.
Dua gol yang dijaringkan Ikhsan dalam setiap babak cukup untuk mencalarkan langkah kanan pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang beberapa hari lalu berjaya menewaskan Filipina dalam perlawanan sulungnya bersama pasukan.
Pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi, Malaysia bermula garang apabila hampir mendahului seawal 38 saat menerusi gerakan menarik antara Syafiq Ahmad, Safiq Rahim dan R Kogileswaran namun sayang sekali percubaan Safiq sipi daripada jaring gol lawan.
Malaysia terus menggempur benteng Singapura melalui Safawi Rasid, disusuli tandukan Akhyar Rashid, namun gol yang dicari masih belum berhasil.
Sekian lama menyerap asakan Malaysia, Singapura bijak mencipta gol apabila gerakan pantas yang dilancarkan Song Ui Yong gagal dikekang pertahanan negara sebelum bola ditolak Ikhsan di depan pintu gol Malaysia untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-29.
Tuah seakan tidak memihak Malaysia dalam perlawanan ini, apabila sepakan penalti Safawi menggegar palang dan bola melantun keluar pada minit ke-46.
Bagaimanapun Liridon Krasniqi menggembirakan penyokong Malaysia di stadium apabila dengan tenang merembat leret menewaskan penjaga gol Singapura selepas menerima umpanan lolos cantik dari Akhyar pada minit ke-56.
Malaysia terus mengasak Singapura dan mengawal tempo permainan selepas itu untuk mencari gol kemenangan.
Namun Ikhsan sekali lagi memberi pengajaran kepada Malaysia bahawa kemenangan mesti melalui menjaringkan gol dan itulah yang dilakukannya pada minit ke-75.
Dalam satu serangan balas, hasil gerakan solonya, Ikhsan melepaskan rembatan padu sekali gus menewaskan Farizal.
Malaysia melakukan pertukaran selepas itu memasukkan penyerang Lokman Hakim bagi mencari gol penyamaan, namun kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan Singapura menang 2-1.
Selepas ini, skuad kebangsaan akan mengharungi aksi persahabatan terakhir secara tertutup berdepan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore di Stadium Jalan Besar pada Isnin sebelum mereka pulang ke tanah air, keesokan harinya. – Malaysiapost

