Sesi kedua SPM pada 5 April hingga 19 Mei

0
3

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan peperiksaan sesi kedua itu merangkumi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) dan Ujian Amali Sains.

Menurut KPM, sesi kedua SPM itu diadakan bagi calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac lalu.

“Calon berkenaan adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan,” kata KPM dalam kenyataan, hari ini.

Calon terbabit peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu diingatkan menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan ditetapkan, tarikh, masa, kod serta kertas peperiksaan mulai 1 April ini.

“Semua maklumat itu boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

“Jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua dan arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my pada 1 April ini,” menurut kenyataan itu.

KPM juga mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 dikeluarkan KPM.

Selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara serta KKM.

Ketetapan itu bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here