Pembangkang tak langgar MoU – KJ

0
1
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PEMBANGKANG tidak melanggar perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, apabila menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.

Perkara itu dijelaskan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang turut memaklumkan ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Katanya, Jemaah Menteri berpendapat MoU itu hanya terpakai kepada undang-undang atau rang undang-undang (RUU) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Ia sama ada RUU Pembekalan atau usul tidak percaya. Kalau undang-undang biasa, ia tidak akan terpakai, termasuklah usul berhubung SOSMA ini.

“Mereka cuma tidak menyokong usul dalam SOSMA itu, iaitu perlanjutan tempoh peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara. Bukannya mereka (pembangkang) sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Malah, pembangkang juga menyebut bahawa mereka tidak bermaksud untuk menarik sokongan kepada MoU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MyChampion Peringkat Kebangsaan, di Sepang, hari ini.

Rabu lalu, usul SOSMA gagal diluluskan berikutan keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong, selain 50 tidak hadir.

Subseksyen 4(5) SOSMA bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma selepas 31 Julai depan.

Sebelum ini, beberapa pihak berkata, tindakan Ahli Parlimen Pembangkang berkenaan menunjukkan bahawa mereka melanggar MoU yang dimeterai dengan kerajaan dan menyebabkan perjanjian itu terbatal serta membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here