‘Ini bukan lagi masa berbulan madu’ – Sultan Johor

0
3

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) bahawa tugas mereka sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan, hari ini.

Baginda bertitah, menegaskan EXCO perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji atau ikhtiar yang dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, sentiasa bertanggungjawab, jujur serta amanah.

“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini,” titah baginda.

Titah baginda itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Titah baginda, kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan dan EXCO harus bekerjasama dengan semua pihak dan tidak lupa tanggunjawab sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi,” titah baginda.

Baginda bertitah, prestasi semua EXCO akan sentiasa dipantau.

“Semua EXCO sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah baginda.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) kerajaan negeri di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Istiadat pelantikan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di Johor Bahru. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here