SYARIKAT penerbangan, China Eastern Airlines menggantung operasi pesawat jenis Boeing 737-800 selepas nahas maut melibatkan nyawa 132 mangsa baru-baru ini.
Jurucakap syarikat penerbangan Liu Xiaodong dalam sidang akhbar Khamis lalu, berkata syarikat penerbangan itu dan anak syarikatnya menghentikan sementara operasi 223 pesawat Boeing 737-800.
“Pesawat sedang menjalani pemeriksaan dan penyelenggaraan keselamatan untuk memastikan ia selamat untuk terbang,” kata Liu.
Memetik CNN, melaporkan pesawat itu jenis yang sama terbabit dalam nahas berkenaan.
“Syarikat penerbangan itu melancarkan rombakan keselamatan menyeluruh selepas nahas itu,” katanya.
Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas penerbangan China Eastern Airlines 5735 terhempas di kawasan terpencil dan pergunungan di selatan negara itu ketika ia terbang dari Kunming ke Guangzhou, dalam nahas udara terburuk di China dalam lebih sedekad.
Punca nahas Isnin lalu itu masih belum dapat diketahui. – Malaysiapost

