PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk Bandar Bera, Pahang.
Beliau berkata, pelan itu boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa hadapan, khususnya dalam sistem perparitan, yang lebih sistematik dan mampan.
“Apabila siap, projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk dalam kawasan Bera bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi perasmian Sambutan Hari Air Sedunia bagi Tahun 2022 dan melancarkan buku Air dan Pembetungan di Taman Awam Bera, Pahang hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dasar Sumber Air Negara (DSAN, 2012) menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air, termasuk air permukaan dan air bawah tanah.
Katanya, antara teras utama DSAN adalah jaminan dan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat melalui pemuliharaan dan pengurusan sumber air yang berkesan, disokong oleh mekanisme perkongsian bersama.
“Justeru, saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji semula DSAN dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air Negara.
“Dasar ini akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan-perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya. – Malaysiapost

