KES pergaduhan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan di sebuah padang bola yang tular di medis sosial adalah berpunca daripada provokasi dua penyokong pasukan berlainan.
Klip video berdurasi 32 saat tersebut dimuat naik akaun ‘Kau ninggal Jela’ memaparkan pergaduhan antara sekumpulan remaja.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam, Selasa lalu.
Katanya, semasa kejadian berlangsung perlawanan akhir liga bola sepak tempatan di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning, U10 Bukit Cherakah di sini.
“Pergaduhan berlaku apabila seorang penyokong wanita berusia 21 tahun telah membaling tong sampah dan terkena salah seorang penyokong berlainan.
“Punca pergaduhan adalah disebabkan provokasi antara kedua-dua belah penyokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharudin berkata, tiada sebarang kecederaan antara kedua-dua pihak susulan pergaduhan berkenaan.
Tambahnya, kes telah dapat diselesaikan dengan cara baik dengan kedua-dua belah pihak berdamai.
“Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan terhadap video yang viral tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Mana-mana individu adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video yang viral ini,” katanya. – Malaysiapost

