Tiada kompromi bagi status vaksinasi penerima Sinovac belum ambil dos penggalak – KJ

0
2

KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan individu berusia lebih 60 tahun yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ini kerana kerajaan sudah memberikan masa yang mencukupi bagi memudahkan golongan itu mendapatkan dos penggalak sebagai ikhtiar melindungi diri mereka daripada Covid-19.

Katanya, keputusan melaksanakan perkara itu bukan baharu kerana pengumuman pertama berhubung isu itu dibuat pada 16 Disember tahun lalu diikuti peringatan diberikan pada 7 Februari lalu sebelum kerajaan menangguhkan tempoh sehingga hujung bulan ini.

“Singapura pun ada syarat yang sama (penerima vaksin Sinovac perlu ambil dos penggalak).

“Dos penggalak diperlukan selepas melihat keberkesanan menurun selepas beberapa bulan (menerima vaksin lengkap) dan kesan varian Omicron,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan 2.37 juta rakyat Malaysia akan kehilangan status vaksinasi lengkap mereka awal bulan depan.

“Dianggarkan 2.37 juta rakyat Malaysia akan kehilangan status vaksin lengkap menjelang 31 Mac 2022.

“Jangan kehilangan status vaksin lengkap anda, dapatkan dos penggalak sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Khairy mendedahkan, 835,000 warga emas dan 2.1 juta penerima dos lengkap vaksin jenis Sinovac masih belum mendapatkan dos penggalak mereka.

Beliau berkata, risiko kehilangan status vaksinasi lengkap itu terpakai kepada individu berusia 60 tahun ke atas yang menerima dos lengkap mana-mana vaksin serta penerima Sinovac. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here