KERAJAAN membenarkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran tersebut bersempena negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini, dan keputusan itu amat tepat menjelang Ramadan.
“Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai – gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh.
“Walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka atau mask di samping penjagaan kebersihan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis, hari ini.
Ismail Sabri berkata, justeru itu beliau melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawan bagi memastikan SOP dan Garis Panduan (GP) masih terjaga.
Katanya, Duta Komuniti terbabit akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup.
“Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan – santun apabila membuat teguran.
“Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar.
Menurutnya, di bawah skim itu Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun, dengan peruntukkan kos sebanyak RM 13.4 juta.
“Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM 10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM20,000.
“Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM 30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih,” katanya. – Malaysiapost

